Penyesuaian Satu Keperluan
Suami isteri perlu menyesuaikan diri di antara satu sama lain. Menurut ahli psikologi, proses penyesuaian dalam perkahwinan bermaksud proses modifikasi, adaptasi, dan mengubah pola tingkah laku dan interaksi individu dan pasangan dalam usaha untuk meningkatkan kepuasan dalam perkahwinan.
Jangan hanya mengira jumlah konflik yang timbul, tetapi lebih penting bagaimana pasangan menyesuaikan diri dalam menyelesaikan konflik berkenaan sehingga menjadikan perkahwinan tersebut berjaya.
Mustahil ada dua individu yang tinggal bersama, dan dalam masa yang sama tiada konflik yang berlaku. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Sengaja Allah menjadikan dunia ini berbeza untuk menunjukkan kekuasaan Allah. Perbezaan adalah keindahan. Andainya dunia ini semuanya sama, sudah tentu kita akan bosan kerana tiada perbezaan.
Sengaja Allah jadikan perbezaan di antara suami isteri, untuk memberikan peluang kepada mereka menguruskan perbezaan tersebut. Tetapi ramai dalam kalangan manusia gagal menguruskan perbezaan ini apabila timbul isu berkaitan dengannya. Daripada sekecil-kecil perkara, sehingga sebesar-besarnya.
5 Jenis Penyesuaian Perkahwinan
Terdapat 5 jenis penyesuaian yang dinyatakan oleh pakar kekeluargaan untuk mewujudkan penyesuaian dalam perkahwinan. Ada antaranya apabila diamalkan dapat membantu pasangan, tetapi ada juga yang terus membuntukan lagi keadaan sehingga membawa kepada perceraian pasangan tersebut.
Pertamanya kompromi. Sekiranya timbul sesuatu masalah, pasangan perlulah berkompromi. Kedua-duanya perlu mengalah bagi memuaskan hati kedua-dua belah pihak. Penyesuaian akan berlaku apabila kedua-dua pendapat yang dikemukakan oleh pasangan ini dirangkumkan sebagai penyelesaian.
Keduanya menyesuaikan diri. Pasangan bersetuju untuk tidak bersetuju. Mereka menerima perbezaan pendapat masing-masing dan tidak menjadikannya sebagai masalah utama. Masing-masing cuba untuk menerima kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Ketiganya konsesi (bertolak ansur). Salah seorang akan mengalah sepenuhnya, sementara yang satu lagi menang sepenuhnya. Misalnya apabila isteri berleter, suaminya hanya mendengar leteran tanpa respon. Apabila suami marah, isteri hanya beralah dan mendegar leteran suaminya. Apabila sejuk marahnya, kembalilah mereka bergelak ketawa. Isu yang terlibat adalah siapakah yang akan menyerah kalah.
Keempat berkorban. Salah seorang daripada pasangan akan berkorban bagi mengelak konflik dan mengelak daripada berdepan dengan sebarang masalah. Biasanya pasangan yang mengelak konflik ini akan menyebabkan masalah terpendam di dalam jiwanya. Akhirnya, jiwa sengsara. Siang malam berendam air mata mengenangkan nasib diri. Sekiranya tidak dibendung boleh membawa kepada penceraian.
Kelima percanggahan berterusan. Pasangan sentiasa bercanggah pendapat dan masing-masing enggan mengalah. Hidup bagaikan anjing dengan kucing. Suasana rumah seperti perang dunia pertama. Sentiasa ada bom atom yang meletus mencari sasarannya. Lazimnya pasangan yang bertengkar secara berterusan inilah yang membawa kepada penceraian.
Memberi Sebagai Penyelesaian
Untuk menyelesaikan masalah yang timbul ini, pasangan yang berkahwin ini perlulah sanggup untuk memberi dan menerima seadanya keadaan pasangan masing-masing. Menyayangi tanpa syarat dan komited untuk menjayakan perkahwinan adalah antara syarat yang dapat membantu pasangan menyesuaikan diri untuk menggalas tanggungjawab baru.
Jangan hanya cinta kepada kecantikan, tetapi perlu juga mencintai kekurangan. Tiada kejayaan semanis madu, tanpa pengorbanan sepahit hempedu. Andainya kedua-duanya dapat disatukan, petanda landasan keluarga sudah dibetulkan.
Sekiranya sebelum ini hanya hidup berseorangan, tetapi kini sudah hidup berdua. Sekiranya masing-masing berusaha untuk memberi, insya-Allah, kasih sayang akan dapat disuburkan dalam perkahwinan tersebut.
No comments:
Post a Comment